27 January 2007

Majlis Tazkirah dan Bacaan Yassin Sempena Maal Hijrah

Tarikh : 26 Januari 2007

Tempat: Muslim Students’ Centre, Australian National University

Waktu: 7.30 petang – 10.00 malam

Pada 26 Januari 2007 (Jumaat), Kelab UMNO ACT telah mengadakan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1428H di Muslim Students’ Centre, Australian National University. Majlis ini telah dihadiri oleh pelajar-pelajar Melayu daripada Australian National University, Australian Defence Force Academy, University of Canberra serta pegawai-pegawai Malaysian Students Department (MSD) Sydney dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Australia dan isteri-isteri mereka. Majlis telah dipengerusikan oleh Saudara Fadli Hafiz Che Yusoff.

Seramai 35 orang telah hadir pada malam tersebut. Majlis ini dimulakan dengan majlis Ceramah Maal Hijrah yang dikendalikan oleh Atase Agama MSD, Ustaz Zuhir Ab Rahman. Di antara perkara-perkara yang dibentangkan dalam Tazkirah beliau termasuk konsep Hijrah, kepentingan Ilmu serta ciri-ciri Islam Hadhari. Seterusnya, majlis diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Zuhir. Ianya kemudian disusuli dengan bacaan surah Yassin serta tahlil.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan malam ringkas yang telah disediakan oleh ahli-ahli jawatankuasa Kelab UMNO ACT. Di antara objektif sambutan Maal Hijrah ini diadakan ialah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar Muhammad Rasulullah S.A.W. dan pengorbanan umat Islam pada masa lepas dalam mengerbangkan sayap Islam. Dengan adanya majlis seperti ini juga, ianya dapat menambahkan lagi perasaan cinta kasih kita sebagai umatnya kepada Rasulullah S.A.W serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Majlis seperti ini juga dapat mengukuhkan ikatan tali persaudaraan Muslim sesama pelajar.

No comments: